بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه أجمعين
Perjalanan Menuju Kiblat Ilmu
Sungguh, tidak pernah terlintas di fikiranku bahawa aku akan ke bumi al-Anbiya' ini . Apatah lagi, mengambil jurusan Ulum Islamiyah yang seakan-akan tidak layak bagiku yang dosa menggunung ini . Namun perancangan Allah itulah yang terbaik bagi hamba-Nya . Matlamat aku terjun ke dunia Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada asalnya hanyalah untuk memenuhi kuota yang ditetapkan pihak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengadakan STAM di Sekolah Menengah Agama-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (SMA-MAIWP) .
Namun nasib tidak menyebelahi kami . STAM pada tahun itu, masih lagi tidak dapat diteruskan atas alasan yang aku sendiri tidak tahu . Jadi, aku mengambil keputusan untuk meneruskan matlamat itu bersama kawan-kawanku yang lain di Kolej Yayasan Islam Kelantan (KOYIK) atau nama terkininya, Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Yayasan Islam Kelantan (KTSNAYIK) bertempat di Kok Lanas, Kelantan . Selain tujuan itu, aku juga ingin memenuhi masa yang terluang lama antara usai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keputusan . Lagi, aku juga berharapan akan menyambung pelajaranku dalam bidang Perbankan Islam atau Pendidikan Bahasa Arab seusai STAM kerana dengan STAM, harapan itu lebih cerah dan terbentang luas .
Alhamdulillah, keluargaku menyokong keputusanku untuk menyambung pelajaranku di peringkat STAM . Pada 4 Februari 2014, aku pun bergerak ke Kok Lanas untuk mendaftar pada keesokannya, 5 Februari . Aku mulakan pelajaranku di sana . Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar . Kehidupan sebagai pelajar agama aku teruskan seperti biasa . Atau mungkin seolah-olah bukan seperti pelajar agama yang sepatutnya . Aku masih ber'lagho' . Tidak terlepas dengan hiburan yang melampau . Asyik melayan 'movie' sehingga lewat malam . 'Games' juga bersepah dalam telefonku . Al-Quran hanya dibaca untuk menghafal surah-surah wajib untuk peperiksaan .
Allahu Akbar !!!
Sungguh, perancangan musuh-musuh Allah itu telah berjaya .
Firman Allah,
'Dan orang-orang kafir berkata, "Janganlah kamu mendengarkan al-Quran ini dan buatlah kegaduhan terhadapnya, agar kamu dapat mengalahkan (mereka)."' [QS Fushshilat, 41:26]
Ramai yang tidak sedari hakikat ini . Sesungguhnya, musuh-musuh Islam sudah berjaya mengalahkan malah melemahkan kita . Maka umat Islam pun jadi seperti buih di lautan , banyak namu tiada manfaatnya persis firman-Nya,
'...... Adapun buih, akan hilang sebagai sesuatu yang tidak ada gunanya .....' [QS Al-Ra'd, 13:17]
Benarlah sabda Rasulullah SAW,
'Diriwayatkan daripada Thauban R.A., bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat Islam akan lemah. Di atas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menyerbu makanan atas piring dan mengajak orang lain makan bersama."
Maka para sahabat R.A. pun bertanya, "Apakah ketika itu umat Islam telah lemah dan musuh sangat kuat ?"
Sabda Rasulullah SAW: "Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak berarti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di lautan."
Jawab Rasulullah SAW, " Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit al-Wahn."
Sahabat bertanya lagi, "Apakah itu al-Wahn ?"
Rasulullah SAW bersabda: "Cintakan dunia dan takut akan kematian."'
[HR Abu Dawud, Ahmad, Abu Na’im dalam Al-Hilyah]
Musuh-musuh Islam telah berjaya merealisasikan sabda Rasulullah ini . Sebab utama kita terpedaya dan ter'redha' dalam perancangan dan didikan musuh, hanyalah iaitu jauh dari al-Quran (syari'at) dan mengikuti hawa nafsu . Allah sudah jelaskan perkara ini dalam surah Az-Zukhruf, surah ke-43, ayat 46,
'Dan barangsiapa berpaling dari peringatan Yang Maha Pengasih (al-Quran), Kami Biarkan syaitan (menyesatkannya) dan menjadi teman karibnya.' [QS Az-Zukhruf, 43:36]
Bayangkan saja, apabila syaitan menjadi teman karib kita, adakah kita akan membuat amal soleh ? Jikapun kita membuat amal soleh, adakah kita berbuat semata-mata lillah (kerana Allah), atau hanya terpedaya dengan bisikan teman karib kita itu tadi, yang sentiasa menjanjikan setiap kejahatan itu terasa indah ?
Firman-Nya,
'(Syaitan itu) memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka, padahal syaitan itu hanya menjanjikan tipuan belaka kepada mereka.' [QS An-Nisa, 4:120]
Mengikuti hawa nafsu; akanku bahas panjang dalam entri seterusnya inshaAllah jika dizinkan-Nya . Cuma aku mahu kita fikirkan firman Allah berkaitannya dalam surah Al-Furqan, surah ke-25, ayat 43 dan 44,
'Sudahkah engkau (Muhammad) melihat orang yang menjadikan keinginannya sebagai tuhannya. Apakah engkau akan menjadi pelindungnya ? atau apakah engkau mengira bahawa kebanyakan mereka itu mendengar atau memahami? Mereka itu hanyalah seperti haiwan ternakan, bahkan lebih sesat jalannya' [QS Al-Furqan, 25:43-44]
Perhatikan, Allah menggunakan perkataan 'hawa' yang bermaksud keinginan . Lihat saja hari ini, betapa ramai yang menjadikan 'al-hawa' sebagai tuhan yang dikatakan;
- mereka tenang bersamanya
- terlindung dengannya
- rindu terhadapnya
- cenderung kepadanya
Yang diatas ini, merupakan empat makna sebenar al-Ilah(tuhan).
Itulah sebabnya, mengapa Abu Jahal dan pembesar Quraisy enggan apabila Rasulullah tawarkan mereka untuk menjadi penguasa seluruh tanah Arab dan 'Ajam (selain arab) seandainya mereka mahu ungkapan 'Asy-Syahadatain' (Mengucap dua kalimah syahadah), kerana mereka benar-benar memahami maksud sebenar 'al-Ilah' . Sekiranya mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, maka mereka perlu mengetepikan malah mungkin membuang segala keinginan mereka . Erti kata lain, Abu Jahal yang menjadi pencipta dan penjual berhala utama tanah Arab, perlu menghentikan perniagaannya yang sangat menguntungkan itu sedangkan itulah sumber pendapatan dan kemewahan hidupnya untuk memenuhi segala keinginannya .
Kita berbalik kepada kisah permusafiran ilmuku;
Aku teruskan hidupku sebagai pelajar STAM sehinggalah aku menerima panggilan dari abangku yang menanyakan, "Adik nak pi Mesir dak ??" . Aku yang ketika itu mula berasa futur semangat untuk teruskan STAM, terus memahukan saja, asalkan dapat berhenti dari STAM (perasaan ketika itu, tidak lagi kini) . Jurusan yang ditawarkan hanyalah 'Ulum Islamiyah dan Bahasa Arab' kerana aku hanya mempunyai SPM . Kemahuan aku makin kuat apabila ada dalam nama jurusan itu, perkataan 'Bahasa Arab' . Seperti yang aku katakan tadi, aku memang amat menggemari Bahasa Arab . Segala urusan abang aku yang uruskan . Ada juga Pak Cik Azali menawarkan jurusan 'Kesihatan' atau bahasa mudahnya, 'Medicine' atau lagi mudah, 'Medic' . Aku yang hanya berfikir untuk keluar dari ranjang STAM, hanya berkata, "Boleh Juga" . Namun setelah aku fikirkan dengan akal yang waras dan setelah beristikharah, aku memilih untuk teruskan dengan jurusan 'Ulum Islamiyah dan Bahasa Arab' .
Setelah segala urusan itu selesai, aku terus menghantar surat berhenti pengajian di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman Yayasan Islam Kelantan . Aku berhenti ketika dalam musim peperiksaan pertengahan tahun . Aku hanya sempat menjawab dua atau tiga kertas sahaja .
Sementara menunggu tarikh penerbangan ku ke bumi penuh cabaran ini, aku teruskan hidup dengan bekerja sebagai guru taska yang dicadangkan oleh senior atau lebih tepat sahabat yang sentiasa bersamaku susah dan senang, Muhammad Nuur Hidayat .
Sehinggalah, aku harus mengikuti satu program seakan-akan persediaan sebelum berlepas ke Mesir, 'A Pre-Departure to Egypt 2014 (APE '14)' . Di sinilah, aku kenali teman seperjuanganku di Mesir nanti . Namun, apa yang lebih penting, di sinilah, aku mula kenali al-Quran yang sebenar-benarnya . Selama ini, aku hanya membaca sahaja, mungkin ada melihat terjemahannya, tetapi tidak pernah sampai ke tahap 'tadabbur' atau menghayati . Melihat fasi-fasi yang fasih mengeluarkan dalil-dalil dari al-Quran, membuatkan aku terfikir sejenak, inilah yang seharusnya ada pada diri setiap insan, lebih utama lagi bagi seorang yang mengambil jurusan agama .
Di program ini jugalah, aku sedar akan masalah umat yang melanda selama ini melalui pengisian yang disampaikan oleh seorang doktor yang aku kira sangat hebat . Beliau bukanlah seorang doktor kesihatan biasa, malah beliau aku anggap sebagai doktor hati kepada manusia . Beliau lah, Dr. M. Hizul Azri . Beliau sangat-sangat fasih mengeluarkan dalil-dalil dari al-Quran . Antara ayat al-Quran yang dibawakan, yang masih segar di ingatan ku, iaitulah surah Az-Zukhruf, surah ke 43, ayat 36 seperti yang aku katakan sebelumnya .
+++++
Syaitan mula membisikkan bahawa aku ini seorang yang tidak layak ada di jalan ini . Namun aku yakinkan sahaja hadis Rasulullah SAW,
'Daripada Mu'awiyah bin Abi Sufyan R.A., nabi SAW bersabda, "Sesiapa yang Allah mahukan kebaikan baginya, maka Allah akan memberikan kefahaman agama kepadanya." [HR Bukhari dan Muslim]
Dan pada 14 September 2014,
Aku berpijak di bumi Mesir buat pertama kalinya . Ardhul Kinanah, Kiblat Ilmu, dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan kepada Mesir . Dalam perjalanan ke rumah sewa kami, Ustaz Farhan berkongsikan petikan surah Yusuf, surah ke-12, ayat 99,
'..... Masuklah kamu ke dalam negeri Mesir, inshaAllah, kamu tergolong dalam golongan yang aman.' [QS Yusuf, 12:99]
Aku terfikir,
Pasti ini yang terbaik untukku . Allah Maha Mengetahui . Mungkin apa yang aku suka itu tidak baik bagiku seperti yang Allah katakan dalam surah Al-Baqarah, surah ke-2, ayat 216,
'..... Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.' [QS Al-Baqarah, 2:216]
Dan kini,
Dengan keberadaan aku di sini, dengan pentarbiyahan ikhwah-ikhwah, aku sedar keperluanku, kewajipanku, tanggungjawabku .
Aku sedar, bahawa aku sangat memerlukan dakwah dan tarbiyah !!
Dan jalan dakwah dan tarbiyah itu tidak akan pernah mudah dan sentiasa berat . Aku mula sedar hakikat kehidupan umat Islam kini . Aku mula sedar betapa hebatnya 'Ghazwul Fikr' (Perang Pemikiran) yang musuh-musuh Islam lancarkan dan telah pun berjaya ..
Terkadang,
Aku merasa futur, namun ikhwah lah yang sering mengingatkanku akan keperluan ini . Ikhwah sering mengingatkanku akan petikan surah At-Tawbah, surah ke-9, ayat 41 dan 42,
'Berangkatlah kamu baik dengan rasa ringan mahupun dengan rasa berat, dan berjihadlah dengan harta dan jiwamu di jalan Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Sekiranya(yang kamu serukan kepada mereka) ada keuntungan yang mudah diperoleh dan perjalanan yang tidak seberapa jauh, nescaya mereka mengikutimu, tetapi tempat yang dituju itu terasa sangat jauh bagi mereka. Mereka akan bersumpah dengan (nama) Allah "Jikalau kami sanggup nescaya kami berangkat bersamamu." Mereka membinasakan diri sendiri dan Allah Mengetahui bahawa mereka benar-benar orang-orang yang berdusta.' [QS At-Tawbah, 9:41-42]
Dari itu,
Aku terus berada di jalan ini dan aku berharap dan berdoa agar aku akan sentiasa terus berada di jalan ini . Amin .
Sungguh,
Jalan ini tidak akan pernah mudah, tidak akan pernah terlepas dari fitnah dan tohmahan . Aku mungkin belum berhadapan semua itu, namun aku tahu bahawa aku seorang yang sukar menerima keadaan difitnah . Tetapi aku tidak lagi risau, kerana aku yakin, ikhwah-ikhwah akan sentiasa mendokong aku selagi aku masih berada di jalan dakwah dan tarbiyah yang mulia ini .
+++++
Justeru,
Banyak lagi yang perlu aku lalui dan terusuri . Aku mohon doa semua pembaca agar aku terus berada dan tidak futur dari jalan ini .
"يا مقلب القلوب, ثبت قلبي في هذا السبيل الكريم"